KUALA LUMPUR: Airbus mengesahkan AirAsia menempah 150 pesawat Airbus A220, menjadikannya tempahan terbesar bagi model itu setakat ini. Ketua Pegawai Eksekutif Airbus bagi Perniagaan Pesawat Komersial, Lars Wagner, membuat pengumuman tersebut di Mirabel, Quebec, Kanada pada 2.30 petang Rabu (3 pagi waktu Malaysia).
Majlis Bersejarah Disaksikan Pemimpin Kanada
Turut hadir ketika pengumuman itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tony Fernandes yang juga pengasas syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia. Majlis pengumuman perjanjian bersejarah itu turut disaksikan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney.
“Tempahan ini merupakan satu undi percaya besar terhadap kemudahan Airbus serta kepada warga Mirabel, Quebec dan Kanada. Malah, setiap pesawat yang akan diterima oleh Fernandes adalah hasil daripada kemudahan di Mirabel ini,” kata Wagner dalam ucapannya.
Pencapaian Besar Program Airbus A220
Dengan tempahan AirAsia, beliau berkata, pesawat enjin berkembar itu kini melepasi 1,100 tempahan dan menyifatkannya pencapaian besar untuk program Airbus A220. Jelasnya, pesawat Airbus ini merupakan pencetus perubahan yang akan membolehkan AirAsia menghubungkan bandar belum pernah dihubungkan setakat ini.
“Dan Airbus A220, seperti mana yang saya pasti semua orang di dalam bilik ini sedia maklum, merupakan satu-satunya reka bentuk baharu sepenuhnya dalam kelasnya dan perkara itu dibuktikan melalui angka, iaitu pengurangan pembakaran bahan api dan pengurangan CO2 sebanyak 25%.”
Airbus A220 merupakan pesawat terkecil dalam barisan jet komersial Airbus. Ia pesawat berbadan sempit yang direka untuk penerbangan jarak pendek-sederhana dan dibina khusus untuk kategori pesawat 100 hingga 160 tempat duduk.



