KUALA LUMPUR, 12 Mei — Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama pada Selasa, tetapi susut nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan jangkaan bahawa inflasi AS yang lebih kukuh boleh mengukuhkan pendirian dasar monetari ketat Rizab Persekutuan AS (Fed), sekali gus menyokong permintaan terhadap dolar AS.
Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 3.9320/9360 berbanding dolar AS daripada 3.9220/9260 pada penutup Isnin.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata data Indeks Harga Pengguna (CPI) AS yang akan diumumkan malam ini akan dipantau rapi oleh pasaran, dengan anggaran konsensus inflasi keseluruhan pada 3.7 peratus pada April berbanding 3.3 peratus pada bulan sebelumnya.
“Jika itu berlaku, Fed berkemungkinan mengekalkan pendirian dasar monetari yang ketat, yang akan menyokong dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Fed mungkin mengekalkan kadar faedah tanpa perubahan manakala kemungkinan pemotongan kadar faedah tahun ini kekal rendah.
Mohd Afzanizam juga berkata ringgit dijangka kekal dalam mod dagangan menyisi dalam jangka pendek memandangkan risiko geopolitik masih tinggi, dengan pertemuan penting antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping dijadualkan berlangsung pada 14-15 Mei 2026.
Pada penutup, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama. Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4952/4979 daripada 2.4955/4983 dan kukuh berbanding pound British kepada 5.3231/3286 daripada 5.3331/3383, tetapi susut berbanding euro kepada 4.6189/6236 daripada 4.6150/6197 pada penutup Isnin.
Mata wang tempatan itu bercampur-campur berbanding mata wang serantau. Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 224.3/224.6 daripada 225.2/225.5, dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.39/6.41 daripada 6.41/6.42 sebelumnya. Walau bagaimanapun, ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0888/0922 daripada 3.0887/0921 dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.1276/1455 daripada 12.0900/1083.



