KUALA LUMPUR, 12 Mei — Ringgit dibuka tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, termasuk dolar Amerika Syarikat (AS), menjelang pengumuman data ekonomi utama AS malam ini yang mungkin mengukuhkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengekalkan kadar faedah tanpa perubahan, kata seorang penganalisis.
Pada pukul 8 pagi, unit tempatan meningkat sedikit kepada 3.9200/9300 berbanding mata wang hijau itu, berbanding penutup semalam pada 3.9220/9260.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata indeks harga pengguna (CPI) AS untuk April akan diumumkan malam ini, dengan CPI keseluruhan dan teras dijangka meningkat masing-masing sebanyak 3.7 peratus (Mac: 3.3 peratus) dan 2.7 peratus (Mac: 2.6 peratus).
“Oleh itu, Fed mungkin mengekalkan kadar tanpa perubahan manakala kemungkinan pemotongan kadar faedah tahun ini kekal rendah.
“Justeru, ringgit dijangka kekal dalam mod dagangan mendatar dalam jangka terdekat memandangkan risiko geopolitik masih tinggi dengan pertemuan penting antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping yang dijadualkan berlangsung minggu ini,” katanya kepada Bernama.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama. Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4925/4990 daripada 2.4955/4983 pada penutup Isnin dan kukuh berbanding pound British kepada 5.3312/3448 daripada 5.3331/3383 semalam, tetapi susut berbanding euro kepada 4.6162/6280 daripada 4.6150/6197 sebelumnya.
Pada masa sama, mata wang tempatan didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang serantau. Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0883/0964 daripada 3.0887/0921 pada penutup semalam, dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 225.1/225.7 daripada 225.2/225.5 sebelumnya.
Bagaimanapun, ringgit hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.41/6.43 daripada penutup semalam pada 6.41/6.42 dan lemah berbanding baht Thailand kepada 12.1374/1759 daripada 12.0900/1083 sebelumnya. — Bernama



