Peniaga barang tiruan didenda RM200,000
SHAH ALAM: Seorang peniaga tempatan berusia lingkungan 30-an telah didenda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang semalam selepas mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan yang melibatkan urus niaga barang tiruan. Tindakan ini adalah hasil daripada pelaksanaan 'Kempen Kita Gempur' oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari, menjelaskan bahawa tertuduh didakwa di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara sehingga tiga tahun bagi individu yang melakukan kesalahan kali pertama. "Tertuduh mengaku bersalah bahawa pada 21 April 2022, di sebuah premis di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, didapati mempunyai kawalan terhadap barangan seperti selipar, pakaian, topi, tali pinggang dan aksesori pakaian lain menggunakan cap dagangan jenama terkenal secara tidak sah," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah bahawa ini adalah kes pertama tahun ini yang membawa kepada nilai denda tertinggi di bawah kesalahan Akta Cap Dagangan 2019. Prosiding tersebut berlangsung di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Norhashimah Hasim bersama Khairul Affandi Md Jani yang mewakili KPDN Selangor.
Hanif menegaskan komitmen pihaknya di bawah 'Kempen Kita Gempur' untuk mempergiatkan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan perundangan, termasuk menjaga kepentingan awam dan ekosistem ekonomi negara. "Kami memberikan amaran keras kepada peniaga agar tidak memanipulasi hak harta intelek kerana tindakan tidak bertanggungjawab ini, iaitu mencuri hak pemilik cap dagangan sah yang berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia," ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku dalam urus niaga diminta menyalurkan aduan lengkap melalui saluran rasmi, termasuk aplikasi WhatsApp di talian 019-848 8000, aplikasi Ez Adu KPDN, portal e-aduan.kpdn, dan talian 1-800-886-800.



