Kerajaan akan membincangkan cadangan meningkatkan had kuota BUDI95 bagi penghantar makanan panggilan kepada 250 liter dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Selasa ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Had semasa 200 liter sebulan
Beliau berkata kerajaan mengambil maklum bahawa had semasa sebanyak 200 liter sebulan bagi golongan berkenaan menyamai kadar penggunaan biasa, sekali gus memerlukan penelitian semula demi kebajikan mereka.
“Mesyuarat hari Selasa ini, saya akan bawa (perkara ini) dan bincang. Sebab dia (p-panggilan) dapat 200 liter sama macam kitalah, RON95 hanya 200 liter sahaja.
“Jadi, saya kata, nanti saya ingatkan saudara Fahmi (Fadzil), kita cari jalan kalau sekurang-kurangnya naik 50 liter, (menjadi) 250 liter,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Negeri Johor di Dewan Terbuka Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara, Tebrau hari ini.
Inisiatif turun padang
Anwar berkata, cadangan itu tercetus hasil inisiatif beliau sendiri yang turun padang untuk bertanya dan mendengar keluhan golongan penghantar makanan tentang kecukupan kuota semasa.
Dalam perkembangan lain, perdana menteri turut mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM1 juta bagi membiayai kerja-kerja baik pulih yang mendesak di kawasan perumahan berkenaan selepas mendengar aduan daripada jawatankuasa penduduk.
“Saya luluskan RM1 juta dulu … sekurang-kurangnya (selesaikan) yang mendesak dulu. Kalau (ada kemudahan) yang pecahkah, pintu (rosakkah) dan sebagainya, kita baik pulih,” katanya.
Pada majlis sama, Anwar turut mengarahkan supaya tandas rosak di Sekolah Bukit Mutiara dibaiki segera selepas perkara itu dibangkitkan penduduk.
Kestabilan negara hasilkan subsidi
Beliau berkata, keupayaan kerajaan untuk menyalurkan bantuan infrastruktur dan mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter (BUDI95), yang disifatkannya antara yang terendah di dunia, ialah hasil kestabilan negara, hubungan diplomatik yang baik serta kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri.



