SARA Penyelamat Rakyat Depani Ketidaktentuan Ekonomi Global
SARA Penyelamat Rakyat Depani Ketidaktentuan Ekonomi

SARA ‘penyelamat’ rakyat depani pergolakan ekonomi global. Penerima SARA dapat menarik nafas lega susulan kemampuan kerajaan menyediakan bantuan berterusan kepada kelompok layak. Bantuan SARA secara bulanan yang diteruskan kerajaan memberi kelegaan kepada rakyat dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global susulan pergolakan di Timur Tengah.

Kesan Perang di Timur Tengah

PETALING JAYA: Kesan perang di Timur Tengah telah mencetuskan ketidaktentuan ekonomi global menyebabkan ramai terjejas terutama golongan rentan. Namun penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) boleh dianggap bertuah kerana masih menikmati bantuan bulanan itu tanpa rasa bimbang. Ketika banyak negara membuat keputusan sukar termasuk mengurangkan subsidi dan memperketat bantuan sosial susulan tekanan ekonomi, Malaysia sebaliknya masih meneruskan agihan SARA bagi meringankan beban kos sara hidup mereka yang memerlukan.

Kisah Penerima SARA

Pembantu kedai makan, Jam Aina Mat Jelani, 48, menyifatkan bantuan bulanan itu bukan sekadar meringankan beban, tetapi menjadi sumber kelangsungan hidup buat enam anaknya yang masih bersekolah. Jam Aina yang mengekori perkembangan konflik di Asia Barat berkata dia merasa lega kerana kerajaan masih konsisten menjaga kebajikan rakyat melalui bantuan sedia ada. “Alhamdulillah, bantuan ini saya gunakan sepenuhnya untuk membeli barang keperluan asas rumah seperti beras, minyak, gula dan biskut,” katanya ketika ditemui FMT.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Nada sama dikongsi Wan Azilah Wan Hussin, 36, peniaga kecil dari Manjoi, Perak yang menyatakan bantuan RM200 sebulan dinikmatinya digunakan untuk membeli barangan asas seperti beras dan minyak masak. “Sekurang-kurangnya barangan asas sudah ada di tangan. Dulu sebelum ada bantuan ini, memang terasa susah sikit terutama jika perniagaan tidak menentu,” katanya. Azilah yang kini sarat mengandung bagaimanapun berkata dia tetap bimbang dengan impak konflik global itu dan memilih langkah berjimat-cermat seperti disaran kerajaan. “Kita sudah belajar daripada pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sekarang tiada lagi istilah boros, paling penting menyediakan keperluan untuk anak-anak,” ujar ibu kepada empat anak itu.

Juruteknik kilang, Muhammad Idham Jamri, 29, berkata sejak menerima bantuan bulanan SARA, dia boleh merancang perbelanjaan hariannya. “Kalau makan di luar sekarang, RM10 pun tidak cukup untuk sarapan. Dengan membeli barangan sejuk beku menggunakan SARA, beban harian saya jauh berkurangan,” jelasnya.

Impak kepada Peniaga

Impak positif bantuan ini turut dirasai oleh peniaga kedai runcit, Leow Choon Kit, 40, yang premisnya berdaftar di bawah Rakan Niaga SARA, sekali gus memperluas jaringan penyediaan barangan keperluan harian kepada rakyat. Beliau menganggarkan seramai 50 hingga 60 pelanggan sehari menggunakan bantuan SARA di kedainya, sekaligus merancakkan pusingan modal perniagaan kecil di peringkat akar umbi. “Bila ada SARA, perniagaan nampak lebih baik. Ia membantu aliran tunai kedai dan memastikan rakyat terus mempunyai kuasa beli walaupun harga barang dunia tidak menentu,” ujar Leow.

Statistik Bantuan SARA

Disember tahun lalu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata sebanyak 5.6 juta orang menerima SARA bulanan dicatatkan setakat ini dengan jumlah kelayakan keseluruhan bagi 2025 mencecah RM5 bilion. Bantuan SARA 2026 mula diagihkan pada 9 Jan lalu kepada lima juta penerima, melibatkan 3.7 juta isi rumah serta 1.3 juta warga emas. Bagi 3.1 juta individu bujang pula, agihan bermula pada 16 Jan. Bantuan ini dikreditkan terus ke dalam MyKad dan boleh digunakan untuk membeli lebih 100,000 barangan keperluan merangkumi 14 kategori.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga