AT&S labur RM9.4b lagi di Kulim, pacu ekosistem semikonduktor Malaysia
AT&S labur RM9.4b di Kulim, pacu semikonduktor Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Jun — Keputusan Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft (AT&S) untuk mengembangkan operasinya di Kulim, Kedah, melalui pelaburan baharu sehingga €2 bilion (RM9.4 bilion) dijangka mengukuhkan lagi ekosistem semikonduktor Malaysia dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keyakinan Pelabur Antarabangsa

Anwar berkata keputusan syarikat Austria itu mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Malaysia, menekankan bagaimana dasar yang jelas, kestabilan politik, tadbir urus baik dan komitmen kerajaan terhadap transformasi ekonomi meletakkan negara sebagai destinasi utama untuk pelaburan teknologi canggih dan hab pertumbuhan serantau baharu.

“Mesyuarat dan perbincangan yang diadakan pada awal Jun telah membuahkan hasil, dengan AT&S mengumumkan hasratnya untuk mengembangkan operasi di Kulim, Kedah, seterusnya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan teknologi berimpak tinggi,” katanya dalam catatan di X hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Anwar mengulas kenyataan yang dikeluarkan AT&S di laman webnya, di mana pengeluar cip itu komited untuk melabur antara €1.5 bilion dan €2.0 bilion bagi mengembangkan tapak pembuatan di Kulim, disokong oleh komitmen pelanggan jangka panjang.

Beliau berkata perkembangan itu signifikan dalam mengukuhkan kepercayaan bersama dan komitmen terhadap masa depan ekonomi digital Malaysia, yang kini diterjemahkan kepada pelaburan berimpak tinggi untuk negara.

Kenyataan CEO AT&S

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif AT&S, Michael Mertin, berkata pengembangan kemudahan Kulim mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan syarikat dan komitmen bersama untuk pertumbuhan jangka panjang yang menguntungkan.

“Kepimpinan teknologi kami, perkongsian kukuh dengan pemain global dalam industri semikonduktor dan keupayaan terbukti untuk menskala kemudahan pembuatan canggih meletakkan kami sebagai rakan pilihan untuk gelombang pertumbuhan seterusnya,” katanya.

Ketua pegawai kewangan AT&S, Gerrit Steen, berkata pelaburan €1.5 bilion hingga €2.0 bilion itu disokong sepenuhnya dan dibiayai melalui komitmen pelanggan jangka panjang.

“Kami menstrukturkan perjanjian ini untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang sambil mengekalkan disiplin kewangan. Pada masa yang sama, ia menyokong objektif kami untuk mengukuhkan lagi kunci kira-kira dan fleksibiliti kewangan,” tambahnya.

AT&S mengumumkan pengembangan tapak pembuatan Kulim berikutan perjanjian dengan pelanggannya, AMD, dan sebuah syarikat teknologi terkemuka yang lain. Langkah itu mengukuhkan kedudukan teknologi AT&S dan memperdalam perkongsian jangka panjang dengan pelanggan terkemuka dalam industri semikonduktor.

Berdasarkan kejayaan pelancaran Loji 1, pengembangan itu termasuk melengkapkan struktur Loji 2 sedia ada dan membina kemudahan pembuatan baharu untuk teras substrat litar bersepadu dan papan litar bercetak termaju, kata AT&S. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga