PM Anwar akan umum rancangan jamin bekalan minyak negara
KUALA LUMPUR, 9 Mei — Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan rancangan pada pertengahan Mei untuk memastikan kesinambungan bekalan minyak negara berikutan ketidaktentuan bekalan global akibat konflik Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata rancangan itu dijangka memberi tumpuan kepada memastikan bekalan minyak domestik mencukupi untuk menyokong aktiviti ekonomi negara yang berterusan. Kerajaan sebelum ini memberi jaminan bahawa bekalan semasa boleh bertahan sehingga Jun.
Menurutnya, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kini berada di peringkat akhir untuk mendapatkan sumber bekalan baharu bagi memastikan ketersediaan bekalan minyak Malaysia terus terjamin.
“Perdana Menteri sebelum ini berkata beberapa sumber baharu sedang dimuktamadkan. Beliau dijangka membentangkan jadual seterusnya mengenai bekalan minyak negara,” katanya kepada pemberita di forum “Krisis Tenaga 2026: Adakah Kita Bersedia untuk Memikirkan Semula Bahan Api?” yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Ekonomi Universiti Malaya (UMES) di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berkata terdapat rizab yang mencukupi di peringkat operasi. Negara mampu menanggung gangguan bekalan disebabkan langkah intervensi dan pengurusan operasi yang dilaksanakan.
Selain usaha domestik, kerajaan juga melihat kerjasama serantau sebagai pendekatan penting untuk mengukuhkan daya tahan bekalan tenaga, katanya.
“Saya faham terdapat perbincangan mengenai rizab serantau di peringkat ASEAN, tetapi rangka kerja, mekanisme dan perkara berkaitan memerlukan butiran lanjut kerana ia melibatkan diplomasi dan hubungan antara negara anggota,” katanya.
Mengenai penggunaan biodiesel B15, beliau berkata kerajaan optimis pelaksanaan campuran biodiesel yang lebih tinggi itu boleh bermula pada 1 Jun bagi membantu memanjangkan bekalan diesel Malaysia.
Struktur untuk melaksanakan keseluruhan rantaian bekalan biodiesel, termasuk pengedaran ke stesen minyak, sudah sedia ada dan mendapat komitmen kukuh daripada kementerian dan agensi berkaitan, katanya. — Bernama



