Malaysia kaji pelan rizab petroleum negara demi keselamatan tenaga
Malaysia kaji pelan rizab petroleum negara

KUALA LUMPUR, 15 Julai — Kerajaan akan mengkaji keperluan dan strategi untuk mewujudkan stok rizab petroleum negara sebagai langkah memastikan keselamatan tenaga dan mengukuhkan daya tahan negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik serta krisis bekalan global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bil. 1 2026 yang dipengerusikannya hari ini, antara lain bagi memastikan agenda peralihan tenaga negara terus dilaksanakan secara teratur dan berimpak berdasarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Kapasiti tenaga boleh baharu meningkat

Dalam satu hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata setakat Disember tahun lalu, kapasiti terpasang tenaga boleh baharu (RE) negara telah meningkat kepada 31 peratus selaras dengan usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada arang batu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Usaha ini juga diperkukuh melalui pelaksanaan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) yang kini dilengkapi dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS),” kata Anwar.

Biodiesel B15 dan pengangkutan awam

Dalam sektor pengangkutan, Anwar berkata pelaksanaan biodiesel B15 terus memacu negara ke arah penggunaan bahan api alternatif yang lebih mampan dan akan diperkukuh melalui pembangunan hab biofuel Petronas di Pengerang, Johor.

Beliau berkata projek elektrifikasi pengangkutan awam juga berjalan mengikut perancangan, termasuk pengoperasian 250 bas elektrik dan liputan 800 kilometer rangkaian rel di seluruh negara, manakala Fasa 1 pembangunan hab hidrogen untuk sistem Transit Rapid Autonomi (ART) di Sarawak dijadual siap menjelang akhir tahun ini.

Keselamatan tenaga jangka panjang

Menurut Perdana Menteri, dalam situasi ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global yang berterusan, Malaysia perlu bersedia untuk memastikan keselamatan tenaga jangka panjang. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga