Lebih daripada sekadar memuaskan selera peminat durian, musim durian tahun ini telah menjadi platform untuk rakyat dari pelbagai latar belakang berkumpul, berhubung dan berkongsi momen bermakna bersama.
Semangat Kebersamaan dan Kesejahteraan
Mencerminkan semangat sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 yang bertemakan “Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati”, penurunan mendadak harga durian akibat lebihan bekalan telah membolehkan lebih ramai orang menikmati raja buah yang sebelum ini dianggap sebagai kemewahan.
Selain menjadikan varieti durian premium seperti Musang King dan Black Thorn lebih mampu milik kepada golongan masyarakat yang lebih luas, musim ini juga menghidupkan semula tradisi berkumpul dengan keluarga, jiran dan rakan untuk menikmati kelazatan bermusim ini, sekali gus mengeratkan ikatan sosial.
Trend Media Sosial dan Reaksi Peniaga
Trend ini mendapat perhatian meluas di media sosial, dengan pengguna berkongsi maklumat mengenai gerai durian mampu milik, gambar keluarga menikmati durian bersama, dan cerita majikan yang menjamu pekerja dari pelbagai latar belakang dengan durian sebagai tanda penghargaan.
Bagi pemilik Family Musang King, Amirul Irfan Zulkipli, musim durian tahun ini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada pelanggan, malah turut menjana rezeki dan peluang perniagaan yang lumayan untuk peniaga. “Tempahan sangat menggalakkan. Ramai majikan membeli bakul durian untuk pekerja mereka yang berbilang kaum. Walaupun harga lebih rendah musim ini, jualan meningkat dengan ketara dan stok kami hampir habis setiap hari,” katanya.
Beliau berkata, permintaan kukuh yang didorong oleh harga lebih rendah telah mewujudkan kesan pengganda positif di seluruh rantaian bekalan durian, dari petani dan pemborong kepada peniaga dan pengguna.
Perubahan Harga Durian Premium
Musang King yang sebelum ini dijual sehingga RM80 sekilogram, kini menjadi lebih mampu milik pada sekitar RM25 hingga RM30 sekilogram. Varieti premium lain juga mencatatkan penurunan harga yang ketara, manakala beberapa durian kampung dijual serendah RM1 sebiji, semakin mencetuskan kegembiraan dalam kalangan pencinta durian.
Sementara itu, Dr Ima Liana Esa, pensyarah kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), berkata musim durian mampu milik tahun ini mencerminkan makna kesejahteraan yang lebih luas, melangkaui kuasa beli. “Kesejahteraan tidak hanya diukur melalui pendapatan atau angka ekonomi, tetapi juga apabila lebih ramai orang dapat menikmati sesuatu yang sebelum ini di luar jangkauan mereka dan berkongsi kebahagiaan itu dengan orang lain,” katanya.
Durian Sebagai Penyatu Masyarakat
Menurutnya, durian lebih daripada sekadar buah, kerana ia mampu menyatukan komuniti tanpa mengira bangsa, agama, generasi atau latar belakang ekonomi. “Apabila orang berkumpul di gerai atau dusun durian, mereka tidak melihat latar belakang masing-masing. Mereka berbual, ketawa dan menikmati durian bersama. Interaksi mudah ini membantu membina kepercayaan, toleransi dan semangat kebersamaan yang lebih kukuh dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, budaya berkongsi makanan sentiasa menjadi salah satu cara paling mudah untuk membina hubungan yang lebih erat, dengan tradisi membeli atau menghadiahkan durian kepada keluarga, jiran dan rakan mencerminkan kemurahan hati dan kemesraan yang menjadi ciri rakyat Malaysia.
Langkah Kerajaan Atasi Lebihan Bekalan
Sementara itu, kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk membantu petani menangani isu lebihan bekalan musim ini, membolehkan hasil mereka sampai ke pasaran dengan lebih cekap sambil menyokong mata pencarian mereka.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) misalnya, menyasarkan pembelian terus 1,000 tan durian bernilai RM7 juta melalui 42 pusat operasinya di seluruh negara, manakala beberapa kerajaan negeri menganjurkan festival durian untuk membantu memasarkan hasil pekebun kecil.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa beliau akan membangkitkan isu penurunan harga durian dengan rakan sejawatnya dari China, Li Qiang, semasa pertemuan mereka bulan depan sebagai sebahagian usaha meluaskan pasaran eksport durian Malaysia. — Bernama



