Inflasi Malaysia 2025 Turun ke 1.4%, Ringgit Kukuh Bantu Kawal Kenaikan Harga
Inflasi Malaysia 2025 Turun ke 1.4%, Ringgit Kukuh Bantu Kawal Harga

KUALA LUMPUR, 29 April — Inflasi Malaysia menurun kepada 1.4 peratus pada tahun 2025 berbanding 1.8 peratus pada tahun sebelumnya, disokong oleh ringgit yang lebih kukuh, perbelanjaan isi rumah yang berterusan, serta inisiatif kerajaan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), inisiatif kerajaan untuk mengagihkan subsidi petrol RON95 kepada rakyat Malaysia sedikit sebanyak membantu mengekang kenaikan inflasi negara.

“Kadar ini berada dalam julat unjuran inflasi oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan, iaitu antara 1.0 peratus dan 2.0 peratus bagi tahun 2025,” kata DOSM dalam satu kenyataan mengenai analisis Indeks Harga Pengguna (IHP) 2025.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata inflasi negara pada 2025 disumbang oleh inflasi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.6 peratus); kesihatan (1.2 peratus); rekreasi, sukan dan budaya (1.1 peratus); pengangkutan (0.4 peratus); serta perabot, kelengkapan rumah tangga dan penyelenggaraan rutin isi rumah (0.2 peratus).

Beliau berkata penjagaan peribadi, perlindungan sosial dan barangan serta perkhidmatan pelbagai mencatatkan kenaikan lebih tinggi pada 4.4 peratus berbanding 3.0 peratus pada 2024, diikuti oleh insurans dan perkhidmatan kewangan (3.4 peratus), perkhidmatan restoran dan penginapan (3.2 peratus), pendidikan (2.3 peratus), serta makanan dan minuman (2.1 peratus).

Sebaliknya, beliau berkata maklumat dan komunikasi serta pakaian dan kasut masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak negatif 4.3 peratus dan negatif 0.2 peratus pada 2025.

“Inflasi tertinggi sepanjang 2025 dicatatkan pada Januari 2025 iaitu 1.7 peratus dan menurun kepada 1.1 peratus pada Jun 2025, disumbangkan oleh trend perlahan dalam inflasi makanan dan minuman, serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain.

“Namun, trend inflasi meningkat semula pada separuh kedua tahun 2025,” katanya.

Mohd Uzir menegaskan bahawa inflasi teras meningkat 2.0 peratus pada 2025 berbanding 1.8 peratus pada 2024, disumbangkan oleh penjagaan peribadi, perlindungan sosial dan barangan serta perkhidmatan pelbagai (4.4 peratus), makanan dan minuman (3.4 peratus), insurans dan perkhidmatan kewangan (3.4 peratus), serta perkhidmatan restoran dan penginapan (3.2 peratus).

Sementara itu, beliau berkata kebanyakan negeri mencatatkan inflasi yang lebih perlahan, dengan empat negeri melebihi kadar inflasi nasional 1.4 peratus pada 2025, iaitu Johor (2.0 peratus), Selangor (1.7 peratus), Negeri Sembilan (1.7 peratus) dan Melaka (1.5 peratus).

“Kelantan mencatatkan kenaikan terendah pada 0.3 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata, berbanding dengan inflasi di negara terpilih lain, kadar inflasi di negara ASEAN berkisar antara negatif 0.3 peratus hingga 7.7 peratus pada 2025.

“Laos mencatatkan inflasi tertinggi pada 7.7 peratus, manakala Brunei mencatatkan inflasi terendah pada negatif 0.3 peratus,” tambahnya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga