PASUKAN Gerakan Am (GOF) Briged Tenggara merampas 8,800 helai kain batik seludup dari Thailand dan sebuah lori dalam satu operasi di Kampung Simpangan, Tumpat, pagi tadi.
Komandernya, Ahmad Radzi Hussain, berkata operasi bermula pada jam 7.30 pagi apabila pasukan serbuan menggunakan dron untuk memerhati aktiviti di sebuah jeti haram di Nibong, Tumpat, dan ternampak sebuah bot dari Thailand membawa beberapa guni.
"Beberapa lelaki dilihat memindahkan guni-guni itu ke dalam sebuah lori sebelum kenderaan itu bergerak dalam keadaan mencurigakan.
"Pasukan kemudian memberhentikan sebuah lori putih Isuzu Hicom di Kampung Simpangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika pemeriksaan, pegawai menemui guni berisi 8,800 helai kain batik yang dipercayai diseludup dari Thailand.
Radzi berkata seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan. Kain batik bernilai RM1.76 juta dan lori bernilai RM80,000 turut dirampas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Radzi berkata suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada Kastam Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.



