Perjanjian RM75 bilion AirAsia-Airbus: Fernandes yakin masa depan
Perjanjian RM75 bilion AirAsia-Airbus: Fernandes yakin masa depan penerbangan

KUALA LUMPUR, 7 Mei — Tempahan 150 jet A220 oleh AirAsia Bhd menelan belanja kira-kira AS$19 bilion (RM75 bilion), kata penasihatnya, Tan Sri Tony Fernandes. Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Capital A menjangkakan penghantaran pertama pesawat A220 pada suku pertama 2028 paling lewat.

Pesawat baharu buka pasaran dan laluan

Fernandes berkata A220 membuka pasaran dan laluan baharu, mendekatkan mereka kepada matlamat membina rangkaian penerbangan tambang rendah sebenar pertama di dunia. “Pesawat dengan 160 tempat duduk membolehkan kami meningkatkan margin kira-kira dua hingga tiga mata dan membina rangkaian yang lebih mendalam. Pesawat ini juga boleh terbang sehingga tujuh jam, dan di Asia, itu sangat bernilai bagi kami,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian yang disiarkan secara langsung dari Mirabel, Quebec, Kanada.

Pesawat versi lebih besar mungkin dipesan

Terdahulu, dalam ucapannya, Fernandes menyatakan minat untuk membeli 150 lagi pesawat jika pengeluar membina versi lebih panjang, iaitu A220-500, yang mungkin memuatkan sekitar 185 tempat duduk. “Ini adalah perjanjian bernilai AS$19 bilion, yang boleh meningkat kepada AS$38 bilion jika kami dapat versi besar,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau menjelaskan keperluan versi lebih besar A220 adalah kerana jangka hayat A320 sedia ada semakin tamat, dan jet 180 tempat duduk menjadi pengganti yang sempurna. “Orang tertanya-tanya mengapa kami membeli begitu banyak pesawat ketika krisis ini, tetapi krisis adalah peluang untuk membuat keputusan berani. Kami membina AirAsia dengan membuat keputusan berani pada masa yang tepat, bukan masa yang paling mudah. Tempahan ini mencerminkan disiplin jangka panjang dan skala cita-cita kami,” katanya mengenai perjanjian bernilai berbilion dolar itu.

“Kerjasama kami dengan Airbus menjangkau lebih dua dekad dan menjadi teras kepada segala yang kami capai. Hari ini adalah satu lagi pencapaian dalam perjalanan itu, dan masih banyak lagi yang akan datang.”

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Pesawat Komersial Airbus, Lars Wagner, mengesahkan perjanjian penting itu yang membawa model A220 melepasi tahap 1,100 tempahan. Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, turut hadir pada majlis menandatangani perjanjian itu. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga