KPKT utamakan baiki PPR lama guna peruntukan terhad
KPKT utamakan baiki PPR lama guna peruntukan terhad

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi keutamaan kepada penyelenggaraan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berusia lebih 10 tahun, dengan fokus kepada kecacatan kritikal yang menjejaskan keselamatan dan keselesaan penghuni.

Skop pembaikan utama

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata keutamaan diberikan kepada isu melibatkan lif, bumbung, tangki air dan sistem rangkaian, paip sanitari, pendawaian elektrik, serta pembaikan am melibatkan harta bersama.

“Dengan peruntukan yang terhad, kementerian mengambil pendekatan yang lebih terperinci dan tersasar dengan memberi tumpuan kepada kecacatan yang memberi kesan lebih besar terhadap keselamatan dan keselesaan penghuni,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Peruntukan dan permohonan

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Senator Sheikh Umar Bagharib Ali mengenai langkah tambahan untuk mempercepatkan penyelenggaraan perumahan kos rendah, projek PPR dan bangunan strata yang semakin tua.

Aiman Athirah memberitahu bahawa di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), KPKT telah membelanjakan RM159.1 juta melalui Rancangan Gulungan Satu hingga Lima untuk penyelenggaraan projek PPR strata bertingkat tinggi di seluruh negara.

Beliau berkata pada tahun 2026, KPKT menerima 226 permohonan penyelenggaraan merangkumi 10 skop keutamaan dengan jumlah nilai RM79.9 juta, tetapi peruntukan yang diluluskan hanya berjumlah RM44.6 juta, iaitu 56 peratus daripada jumlah kos yang dimohon.

Proses permohonan

Sementara itu, permohonan penyelenggaraan yang dikemukakan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) perlu melalui Pesuruhjaya Bangunan (COB) atau pihak berkuasa tempatan yang berkaitan sebelum dikemukakan kepada kementerian.

“Permohonan diterima dari Ogos hingga Oktober, diikuti mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pemilihan Projek pada November, mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pemilihan Projek pada Disember, dan pertimbangan kelulusan oleh Pegawai Pengawal pada Januari.

“Pihak berkuasa tempatan akan dimaklumkan pada Januari, manakala Surat Penerimaan (LOA) akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada April sebelum projek boleh dimulakan,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga