KUCHING, 20 Mei — Sarawak mengunjurkan pendapatan sebanyak RM13.04 bilion untuk dikutip pada tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Uggah berkata, setakat April, sebanyak RM3.86 bilion atau 29.6 peratus daripada jumlah yang diunjurkan telah berjaya dikutip.
“RM3.86 bilion yang dikutip datang daripada beberapa sumber utama, antaranya termasuk RM1.58 bilion daripada cukai jualan negeri, pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas (RM1.10 bilion) serta dividen sebanyak RM545 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang Dipertua Negeri di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Uggah berkata, memandangkan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu dan ketidaktentuan geopolitik yang menjejaskan pasaran minyak dan gas global, kerajaan negeri menjangkakan akan berlaku kesan terhadap unjuran pendapatan tahun ini.
“Walaupun begitu, kerajaan komited untuk memperkukuh daya tahan melalui pengurusan fiskal yang berhemat dan inisiatif yang disasarkan untuk menyokong rakyat dan ekonomi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata setakat April tahun ini, sebanyak RM3.72 bilion atau 29 peratus daripada perbelanjaan mengurus yang diluluskan telah dibelanjakan, manakala RM2.16 bilion atau 23 peratus telah dibelanjakan untuk perbelanjaan pembangunan.
“Apabila pelaksanaan program dan projek berjalan, perbelanjaan dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini.
“Sehubungan itu, pegawai pengawal dan ketua jabatan mesti terus menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap penyampaian, menangani secara proaktif sebarang isu pelaksanaan dan melaksanakan pengurusan kewangan yang berhemat, supaya semua inisiatif dapat direalisasikan dalam sumber yang ada,” tambahnya. — Bernama



