IPOH, 16 Mei — Kerajaan telah meningkatkan peruntukan bagi kerja-kerja pembinaan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) daripada RM400 juta kepada RM900 juta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenaikan peruntukan untuk bilik darjah
Beliau berkata peningkatan itu antara lain untuk membiayai pembinaan bilik darjah tambahan bagi persediaan menghadapi peningkatan enrolmen Tahun Satu bermula tahun depan.
“...Saya sebelum ini mengumumkan peruntukan RM400 juta untuk pembinaan 2,500 bilik darjah tambahan di lebih 800 sekolah di bawah Belanjawan 2026. Jadi, bagi memastikan ruang bilik darjah yang mencukupi untuk murid Tahun Satu, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan.
“Maka saya umumkan kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan, daripada RM400 juta yang diumumkan sebelum ini kepada RM900 juta untuk 6,000 bilik darjah,” katanya dalam ucapan pada majlis pertemuan dengan kontraktor kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Negeri Perak di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, dan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Komitmen kepada kontraktor Bumiputera
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan tetap komited menyokong kontraktor kecil Bumiputera, dengan peruntukan kerja-kerja pembinaan diselaraskan semula sebagai respons kepada krisis bekalan global.
“Dalam Belanjawan 2026, RM2.4 bilion diperuntukkan khusus untuk kontraktor kecil dalam kategori G1 hingga G4. Ini telah dinaikkan kepada RM4 bilion untuk 2026 melalui peruntukan semula dana kerajaan,” katanya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa kontraktor kecil yang berprestasi baik akan terus diberikan projek bagi membolehkan mereka berkembang.
“Namun, saya minta jaminan daripada kontraktor kecil ini bahawa mereka akan menyiapkan dan melaksanakan projek dengan sebaik mungkin.
“Saya hanya boleh katakan, jika prestasi baik, selaras dengan sasaran prestasi yang diharapkan, saya akan beri tumpuan lebih besar untuk membantu anda supaya anda tidak kekal sebagai kontraktor kecil selamanya,” katanya.
Keutamaan perbelanjaan
Perdana Menteri juga berkata, walaupun berlaku krisis bekalan global, perbelanjaan bagi sektor penting dan kritikal tidak akan dikurangkan, malah akan dipertimbangkan untuk dinaikkan berdasarkan keperluan, termasuk dalam sektor pendidikan.
“Pertama, saya nak katakan, apabila kita kurangkan perbelanjaan, ada yang kata kita tidak utamakan kebajikan dan kesihatan. Jangan cepat menilai sebelum tahu fakta.
“Biar saya terangkan, peruntukan ini sentiasa diagihkan... projek tambahan ini tidak dipotong; ia diutamakan di mana perlu,” katanya.
Pada majlis itu, Anwar menyampaikan 100 surat setuju terima kepada kontraktor untuk pembinaan bilik darjah tambahan. — Bernama



