KUALA LUMPUR, 15 Mei — Ringgit ditutup kebanyakkan tinggi berbanding mata wang utama selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026 (1Q 2026), melebihi anggaran awal sebanyak 5.3 peratus, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, aktiviti pelaburan dan eksport.
Bagaimanapun, mata wang tempatan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan sokongan berterusan terhadap dolar AS atas jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengekalkan pendirian monetari yang ketat.
Pada pukul 6 petang, ringgit susut kepada 3.9515/9580 berbanding dolar AS daripada 3.9300/9330 pada penutup Khamis.
Lebih awal hari ini, BNM melaporkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus, dengan perbelanjaan isi rumah kekal berdaya tahan dalam keadaan pasaran buruh yang menggalakkan dan sokongan dasar yang berterusan, manakala aktiviti pelaburan disokong oleh perbelanjaan jentera dan peralatan, pelaburan struktur dan pelaksanaan projek pelbagai tahun.
Bank pusat berkata penggunaan swasta berkembang 4.7 peratus pada 1Q 2026, manakala pelaburan swasta meningkat 7.8 peratus. Eksport bersih melonjak 13.5 peratus berikutan pertumbuhan eksport yang stabil dan moderasi import yang lebih cepat.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pertumbuhan jualan runcit AS yang kukuh sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun pada April menunjukkan bahawa Fed berkemungkinan mengekalkan pendirian ketatnya tahun ini, memberikan sokongan kepada dolar AS.
“Sementara itu, pertemuan baru-baru ini antara Presiden AS Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping, kelihatan mesra, menunjukkan bahawa hubungan perdagangan antara kedua-dua negara masih kondusif buat masa ini,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup, ringgit didagangkan kebanyakkan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama. Ia meningkat berbanding pound British kepada 5.2749/2835 daripada 5.3094/3135, dan naik berbanding euro kepada 4.5948/6024 daripada 4.6009/6044 pada penutup Khamis.
Bagaimanapun, ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.4927/4968 daripada 2.4886/4907 sebelumnya.
Mata wang tempatan didagangkan kebanyakkan rendah berbanding mata wang serantau yang lain. Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.0989/1247 daripada 12.1506/1652, tetapi susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0871/0927 daripada 3.0867/0893, merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 224.5/225.0 daripada 224.1/224.4 dan lebih rendah berbanding peso Filipina pada 6.40/6.41 daripada 6.37/6.38. — Bernama



