KUALA LUMPUR, 12 Jun — Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi pada Jumaat, didorong oleh saham-saham pilihan bernilai menarik walaupun sentimen pasaran yang berhati-hati berikutan perkembangan di Asia Barat, turun naik harga minyak mentah dan ketidaktentuan mengenai prospek kadar faedah global.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.10 mata atau 0.24 peratus kepada 1,683.63 berbanding paras tutup Khamis pada 1,679.53. Indeks utama dibuka 5.34 mata lebih tinggi pada 1,684.87 dan bergerak dalam julat 1,679.72 hingga 1,685.39 sepanjang sesi.
Bagaimanapun, pasaran secara keseluruhan menunjukkan kecenderungan negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 533 berbanding 479, manakala 561 kaunter tidak berubah, 1,130 tidak didagangkan dan 33 digantung. Jumlah dagangan merosot kepada 2.79 bilion unit bernilai RM2.31 bilion berbanding 3.32 bilion unit bernilai RM2.88 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI bergerak dalam julat sempit dan ditutup lebih tinggi dengan volum rendah, selari dengan kebanyakan pasaran serantau yang turut meningkat, disokong oleh optimisme terhadap potensi kemajuan dalam hubungan Amerika Syarikat-Iran dan pemulihan saham teknologi serta pembuatan cip.
“Di peringkat domestik, aktiviti dagangan kekal perlahan kerana pelabur terus berada di luar pasaran susulan jualan asing yang berterusan dan kekurangan pemangkin pasaran yang kukuh. Pada masa sama, penilaian menarik dalam kaunter pilihan mungkin terus menggalakkan pembelian murah dan memberikan sokongan kepada pasaran yang lebih luas,” katanya kepada Bernama.
Antara kaunter berat, Maybank naik enam sen kepada RM10.72, Public Bank meningkat lima sen kepada RM4.83, Tenaga Nasional menokok 12 sen kepada RM14.42, CIMB naik sembilan sen kepada RM7.39, dan IHH Healthcare melonjak 11 sen kepada RM8.78.
Dalam kalangan saham aktif, Zetrix AI tidak berubah pada 81 sen, Top Glove turun 2.5 sen kepada 80.5 sen, AirAsia X naik enam sen kepada RM1.20, Capital A tidak berubah pada 40 sen, dan Dagang NeXchange meningkat 1.5 sen kepada 36 sen.
Bagi kaunter untung tertinggi, Nestle naik RM1.10 kepada RM95.60, Fraser & Neave meningkat 94 sen kepada RM26.74, Ajinomoto naik 58 sen kepada RM15.30, dan Petronas Dagangan naik 48 sen kepada RM18.20. Kaunter rugi tertinggi pula termasuk Paragon Union yang jatuh RM1.39 kepada RM3.27, Batu Kawan susut 96 sen kepada RM19.84, dan Petronas Chemicals merosot 46 sen kepada RM5.34, manakala Unisem dan Kuala Lumpur Kepong masing-masing turun 18 sen kepada RM4.60 dan RM20.76.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 21.02 mata kepada 12,474.62, Indeks FBM Top 100 naik 17.51 mata kepada 12,315.94, dan Indeks FBM Emas Syariah jatuh 21.44 mata kepada 12,422.30. Indeks FBM Mid 70 susut 28.27 mata kepada 17,884.14 dan Indeks FBM ACE merosot 3.09 mata kepada 4,668.67.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 140.69 mata kepada 19,644.36, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.55 mata kepada 196.93, Indeks Tenaga susut 9.49 mata kepada 775.37, dan Indeks Perladangan merosot 53.75 mata kepada 8,752.08.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama mengecil kepada 1.45 bilion unit bernilai RM2.02 bilion daripada 1.68 bilion unit bernilai RM2.53 bilion semalam. Jumlah dagangan waran susut kepada 888.91 juta unit bernilai RM129.37 juta daripada 1.07 bilion unit bernilai RM172.98 juta sebelumnya. Jumlah dagangan Pasaran ACE menurun kepada 447.1 juta unit bernilai RM160.05 juta daripada 562.41 juta unit bernilai RM177.14 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 206.68 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (350.69 juta), pembinaan (91.65 juta), teknologi (285.15 juta), perkhidmatan kewangan (47.93 juta), hartanah (125.43 juta), perladangan (19.25 juta), amanah pelaburan hartanah (28.27 juta), dana tertutup (21,800), tenaga (97.91 juta), penjagaan kesihatan (105.85 juta), telekomunikasi dan media (33.68 juta), pengangkutan dan logistik (28.33 juta), utiliti (35.18 juta), dan amanah perniagaan (12,100). — Bernama



