Hampir tiga dekad berniaga ayam di pasar tani, Zulkifli Abdan bergantung kepada sebuah lori satu tan untuk menguruskan perniagaannya setiap hari. Namun, selepas mendapat pembiayaan modal pusingan RM30,000 daripada Agrobank, operasi perniagaannya kini lebih lancar yang turut dibantu dengan bimbingan menerusi Skim Usahawan Tani Agrobank x Fama.
“Sekarang saya ada dua kenderaan dan hasil perniagaan juga lebih baik,” katanya kepada FMT sambil menyatakan penghargaan terhadap pendedahan ilmu perniagaan. “Kami diajar cara memasarkan barang dan strategi mengembangkan perniagaan. Ramai boleh berniaga tetapi tidak tahu bagaimana hendak meluaskan pemasaran mereka,” tambahnya.
Legasi Perniagaan Kerepek
Pengalaman hampir sama dikongsi Amirul Hizzan Sakimat, 23, yang menyambung legasi perniagaan kerepek keluarganya sebagai usahawan generasi kedua. Menurut Amirul, keluarganya mula mendapatkan pembiayaan Agrobank kira-kira 15 tahun lalu bagi membantu mengembangkan operasi perniagaan. Katanya, jumlah pembiayaan yang diperoleh lazimnya antara RM20,000 hingga RM30,000, bergantung kepada keperluan semasa perniagaan.
“Sebelum ini kami berniaga di pasar tani dan mengumpul modal sedikit demi sedikit. Modal yang ada agak terhad untuk mengembangkan perniagaan,” katanya. Amirul berkata pembiayaan itu membantu keluarganya memiliki kilang sendiri di Sungai Pelek, Sepang, selain meluaskan pasaran ke Sarawak, Sabah, Brunei dan Singapura. “Proses berurusan dengan Agrobank amat memuaskan kerana tiada masalah dan Agrobank mempunyai matlamat yang jelas,” katanya.
Skim Usahawan Tani Agrobank x Fama
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata Skim Usahawan Tani Agrobank x Fama yang dilancarkan pada 23 Mei lalu menyediakan pelbagai bentuk bantuan. “Kita bukan sahaja memberi pembiayaan kepada peniaga pasar tani, tetapi juga latihan kewangan serta bimbingan dari segi keusahawanan dan pemasaran,” katanya pada siri kedua sesi libat urus bersama penjaja dan peniaga kecil di Pasar Tani Kelana Jaya semalam.
Program itu turut disertai Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan. Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Agrobank kini mempunyai lebih 15,000 pelanggan dalam segmen penjaja dan peniaga kecil, termasuk lebih 5,000 peniaga pasar tani di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama). “Matlamatnya adalah membantu mereka berkembang secara berperingkat, daripada perniagaan berskala nano kepada mikro, dan seterusnya menjadi perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
Skim itu menawarkan pembiayaan mikro sehingga RM100,000 bagi setiap pelanggan pada kadar keuntungan serendah 2.5% setahun. Permohonan skim itu dibuka sehingga 31 Disember ini, tertakluk kepada terma dan syarat. Usahawan serta peniaga pasar tani yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi Agrobank atau mengunjungi cawangan berhampiran.



