PBAPP Pasang Dua Paip Utama Bawah Pelan Kontingensi Air Pulau Pinang
GEORGE TOWN, 6 Mei — Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan memasang dua paip utama berdiameter 1.8 meter untuk menyalurkan lebih banyak air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke daerah Barat Daya di pulau itu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh bekalan air menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K. Pathmanathan, berkata projek itu adalah komponen utama Fasa 3 Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) dengan anggaran kos keseluruhan kira-kira RM416 juta melibatkan perolehan paip, kerja pemasangan, penggalian, pemulihan jalan serta kos pengambilan tanah.
Beliau berkata paip pertama akan menghubungkan LRA Sungai Dua ke titik sambungan Projek Paip Kembar Bawah Laut Ketiga Pulau Pinang (3rd PTSP) di Butterworth, membabitkan laluan sejauh kira-kira 13 kilometer di tanah besar.
“Paip kedua berdiameter 1.8 meter akan menghubungkan titik pendaratan 3rd PTSP di kawasan Macallum ke Kompleks Takungan dan Rumah Pam Bukit Dumbar sejauh kira-kira 3.9 kilometer di pulau itu dengan kos RM56 juta,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek di Solok Tengku di sini hari ini.
Menurutnya, dua paip itu penting untuk membolehkan PBAPP mengepam lebih banyak air terawat dari Sungai Dua ke pulau, terutama untuk memenuhi permintaan yang meningkat di daerah Barat Daya yang dijangka meningkat daripada 202 juta liter sehari (JLH) tahun ini kepada 301 JLH menjelang 2030.
Pathmanathan berkata kerja bagi paip baharu dari Macallum ke Bukit Dumbar dijadualkan bermula bulan ini dan dijangka siap menjelang Mei 2027 disebabkan kekangan teknikal dan logistik melibatkan pengurusan lalu lintas serta penempatan semula utiliti seperti talian Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan telekomunikasi.
“Dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan, kami yakin cabaran ini dapat diatasi dan projek dapat disiapkan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata projek sepanjang 3.9 kilometer itu akan dilaksanakan dalam dua fasa disebabkan kekangan pengambilan tanah, dengan fasa kedua membabitkan kira-kira satu kilometer merentasi Sungai Pinang.
Menurutnya, kira-kira 400 juta liter air sehari kini disalurkan ke pulau dan dengan siapnya paip khusus, kapasiti itu boleh ditingkatkan kepada sekitar 600 juta liter sehari.
Beliau menambah bahawa keseluruhan WCP 2030 bernilai RM2.1 bilion sedang dilaksanakan untuk mengoptimumkan sumber air mentah, meningkatkan kapasiti rawatan air dan mengurangkan kebergantungan kepada LRA Sungai Dua.



