Harga minyak tanpa subsidi naik 20 sen, diesel naik 35 sen mulai hari ini
Harga minyak tanpa subsidi naik 20 sen, diesel naik 35 sen

KUALA LUMPUR, 23 Julai — Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing naik 20 sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi naik 35 sen seliter bagi tempoh 23 hingga 29 Julai, berikutan kenaikan harga minyak mentah global disebabkan peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Kenaikan harga berkuat kuasa serta-merta

Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga runcit RON97 ditetapkan pada RM4.20 seliter berbanding RM4 sebelumnya, manakala RON95 tanpa subsidi meningkat kepada RM3.62 seliter daripada RM3.42.

Harga runcit diesel tanpa subsidi juga disemak kepada RM4.42 seliter berbanding RM4.07 sebelumnya. Menurut MOF, harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi pergerakan pasaran minyak global selepas harga minyak mentah Brent meningkat 16 peratus minggu lalu berikutan ketegangan baharu antara Amerika Syarikat dan Iran selepas gencatan senjata tamat.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Faktor kenaikan harga minyak global

“Sekatan perkapalan dan pengurangan laluan kapal melalui Selat Hormuz telah meningkatkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan petroleum global. Harga minyak mentah juga didorong lebih tinggi oleh penyusutan inventori global dan ancaman gangguan penghantaran minyak dari Arab Saudi. Pasaran petroleum global dijangka kekal tidak menentu sehingga konflik diselesaikan,” kata MOF.

Menurut kementerian, walaupun usaha untuk menghidupkan semula rundingan dan cadangan gencatan senjata telah menyederhanakan sebahagian daripada kenaikan harga, perkembangan ini belum lagi meredakan kebimbangan pasaran terhadap potensi gangguan bekalan.

Harga bersubsidi kekal tidak berubah

Harga bahan api bersubsidi bagi tempoh yang sama bagaimanapun kekal tidak berubah. Walaupun bekalan bahan api negara masih mencukupi buat masa ini, MOF menyatakan Kerajaan Madani menggesa orang ramai terus menggunakan bahan api secara berhemah.

“Merancang perjalanan dengan lebih cekap dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan bahan api negara dan mengurangkan tekanan ke atas perbelanjaan subsidi,” tambah kementerian itu. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga