PUTRAJAYA, 7 Mei — Bayaran awal di bawah Skim Insentif Pembajakan Kepada Petani (IPKP) sebanyak RM200 sehektar bagi petani di Semenanjung Malaysia akan disalurkan secara berperingkat mulai 19 Mei, tertakluk kepada jadual dan pengesahan oleh agensi berkaitan.
Butiran Pembayaran Insentif
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), dalam kenyataan hari ini, memaklumkan bahawa bantuan itu akan melibatkan petani yang berdaftar di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) untuk musim penanaman semasa, dengan keutamaan diberikan kepada musim pertama 2026.
“Melalui pelaksanaan ini, petani akan menerima bayaran awal RM200 sehektar secara sekali gus sebelum atau semasa aktiviti pembajakan.
“Baki RM100 sehektar akan disalurkan selepas kerja pembajakan selesai dan disahkan oleh agensi berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Saluran Pembayaran
Kementerian memaklumkan bahawa bantuan akan disalurkan terus ke dalam akaun bank petani berdaftar bagi memastikan proses pembayaran yang lebih cepat dan efisien, manakala pembayaran tunai melalui pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) juga akan disediakan untuk kes-kes tertentu.
“KPKM yakin inisiatif ini akan membantu meningkatkan aliran tunai petani padi, mempercepat persiapan musim penanaman dan meyakinkan komuniti petani bahawa Kerajaan Madani mendengar rintihan mereka dan memahami cabaran sebenar yang dihadapi di lapangan.
“Kerajaan Madani tetap komited untuk memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara melalui sokongan berterusan kepada sektor penanaman padi dan kebajikan petani padi di seluruh negara,” kata kementerian itu.
Kekal Untuk Sabah dan Sarawak
Kementerian menambah bahawa kadar insentif untuk petani padi di Sabah dan Sarawak akan kekal tidak berubah, memandangkan petani di kedua-dua negeri itu terus menerima subsidi diesel. — Bernama



