KUALA LUMPUR, 13 Jun — Seramai 13 lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam rusuhan dan pergaduhan kumpulan menggunakan senjata di sebuah premis perniagaan di Jinjang Utara di sini pada Khamis.
Butiran Penangkapan
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Basri Sagoni berkata semua suspek yang berumur antara 18 dan 51 tahun itu ditahan dalam tempoh 12 jam selepas kejadian melalui beberapa serbuan yang dilakukan di sekitar ibu negara.
Beliau berkata Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul telah menerima panggilan kecemasan MERS 999 daripada seorang ahli awam pada pukul 3.27 petang melaporkan kejadian tersebut.
“Berdasarkan maklumat itu, satu pasukan polis telah dihantar ke lokasi untuk mengawal keadaan. Siasatan awal mendapati kejadian ini dipercayai berpunca daripada pertikaian berkaitan hutang sebelum bertukar menjadi pergaduhan besar yang mengakibatkan kecederaan kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Rakaman dan Siasatan
Basri berkata tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (CID) IPD Sentul dengan kerjasama CID Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan rekod mendapati beberapa suspek daripada kumpulan itu mempunyai rekod jenayah dan berkaitan dadah.
“Semua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 18 Jun untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau alat berbahaya,” katanya.
Peringatan Polis
Basri menegaskan bahawa polis memandang serius sebarang bentuk keganasan atau tindakan yang melanggar undang-undang dan mengancam ketenteraman awam.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian itu dengan cara yang boleh mengganggu siasatan dan menyerahkan sebarang pertikaian kepada pihak berkuasa untuk tindakan melalui saluran undang-undang yang betul,” katanya.
Beliau juga menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482222 atau balai polis berhampiran. — Bernama



