Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, mempertahankan kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menentukan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan kritikan terhadap keputusan mengadakan PRN Johor dan Negeri Sembilan secara berasingan.
Beliau menegaskan bahawa penetapan tarikh pilihan raya adalah hak dan kuasa eksklusif SPR, justeru tidak wajar mana-mana pihak mempertikaikan keputusan tersebut.
“Itu adalah hak dan kuasa yang ada kepada SPR dan tidak sepatutnya mana-mana individu atau apatah lagi jika kita berkedudukan sebagai anggota Jemaah Menteri mempunyai pendapat peribadi yang begitu.
“Apatah lagi jika seseorang itu adalah pemimpin utama mana-mana parti yang menjadi anggota kepada kerajaan yang ada,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Ilmuwan Asia Tenggara ke-4 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu.
Semalam, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, menyifatkan penjelasan SPR berhubung tarikh berasingan bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan sebagai ‘tidak masuk akal dan mengarut’.
Nga dilapor mempersoalkan keputusan SPR mengadakan kedua-dua pilihan raya itu berasingan walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan dibubarkan hanya selang tiga hari.
Beliau berkata, seluruh suruhanjaya itu wajar meletakkan jawatan jika tidak mampu mengendalikan pilihan raya serentak bagi dua negeri terbabit.
Sementara itu, Zahid turut menolak dakwaan berlaku pengkhianatan susulan pengumuman PRN Negeri Sembilan. Katanya, sokongan kerajaan perpaduan kepada pentadbiran Negeri Sembilan kekal sehingga akhir penggal dan pembubaran DUN serta pilihan raya adalah proses biasa dalam sistem demokrasi.
Mengulas kenyataan ketua Pemuda DAP yang melabel Umno sebagai hipokrit berhubung kerjasama politik dengan Pakatan Harapan, Zahid mengingatkan pemimpin parti komponen menghormati rakan dalam gabungan.
“Rakan kongsi politik harus jaga hati. Yang penting jaga lidah supaya tidak keluar apa yang ada dalam hati,” katanya.



