Pemandu Myvi langgar rumah bawa 9 warga Bangladesh tanpa dokumen
Pemandu Myvi langgar rumah bawa 9 warga Bangladesh

KOTA BHARU, 30 Mei — Seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun dan sembilan pendatang Bangladesh ditahan selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas di jalan raya sebelum melanggar sebuah kenderaan dan sebuah rumah di Kampung Tok Malik, Wakaf Bharu, Tumpat, hari ini.

Kejadian awal pagi

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 pagi itu berlaku ketika satu pasukan dari Batalion ke-7 Pasukan Petugas Op Taring Wawasan Kelantan sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut.

Menurutnya, pasukan itu ternampak sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kuning yang mencurigakan dan cuba memberhentikannya untuk pemeriksaan, tetapi pemandu memecut laju.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Suspek hilang kawalan kenderaan sebelum ia terbabas dan melanggar kereta seorang penduduk serta sebahagian rumah di Kampung Tok Malik. Pemeriksaan mendapati kenderaan itu dipandu oleh seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pengangkut darat dan membawa sembilan pendatang Bangladesh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tahanan dan siasatan

Menurut beliau, suspek ditahan di tempat kejadian, manakala semua pendatang turut ditahan untuk tindakan lanjut dan proses dokumentasi di Ibu Pejabat Taktikal PGA Pengkalan Kubor.

“Pemeriksaan awal mendapati individu-individu itu, berusia antara 20 hingga 55 tahun, gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. Siasatan awal mendedahkan bahawa pemandu mengaku menerima RM100 bagi setiap pendatang yang diambil di sempadan Malaysia-Thailand untuk dibawa ke Kota Bharu,” katanya.

Beliau menambah, kes ini disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga