Tujuh cedera ringan dalam nahas libatkan kenderaan pengiring Timbalan Perdana Menteri di Maran
Nahas libatkan kenderaan pengiring TPM di Maran, tujuh cedera

KUANTAN, 19 Jun — Tujuh individu termasuk seorang pemandu dan tiga pegawai media kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 144.2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Maran awal pagi tadi.

Kejadian nahas

Ketua Polis Daerah Maran Supt Wong Kim Wai berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 1:00 pagi apabila sebuah lori Foton didakwa menukar lorong secara mengejut menyebabkan pemandu Toyota Fortuner yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur hilang kawalan ketika cuba mengelak lalu melanggar bahagian kanan lori tersebut.

“Sebuah kenderaan lain, iaitu lori Hicom yang berada di belakang kedua-dua kenderaan itu, cuba mengelak kemalangan tetapi hilang kawalan sebelum terbabas ke pembahagi jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Akibat kemalangan itu, katanya tujuh orang yang menaiki ketiga-tiga kenderaan mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Jengka untuk rawatan.

Wong menambah bahawa kejadian itu disiasat di bawah Peraturan 6 (1) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959.

Reaksi Timbalan Perdana Menteri

Sementara itu, Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa semua yang terlibat dalam kemalangan itu dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Majlis Huffaz Pahang 2026 di Yayasan Pahang di sini malam tadi.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana mereka semua selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.

“Kepada semua yang sedang bertugas, jaga diri baik-baik. Cukupkan rehat, pandu dengan berhati-hati, dan utamakan keselamatan walau sesibuk mana pun.

“Semoga yang terlibat cepat sembuh dan pulih seperti sedia kala, dan semoga kita semua sentiasa dilindungi Allah SWT di mana sahaja kita berada,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga