PETALING JAYA: Dua wanita telah ditahan bagi membantu siasatan selepas mayat seorang janin ditemui di hadapan sebuah rumah kanak-kanak di Jalan Bukit Gasing, di sini, semalam.
Ketua Polis Petaling Jaya, Shamsudin Mamat, berkata kedua-dua wanita yang berusia lingkungan 20-an itu ditahan selepas satu laporan polis dibuat pada jam 8.10 pagi, lapor Bernama.
Menurut Shamsudin, keputusan autopsi mengesahkan bahawa janin tersebut telah meninggal dunia lebih 24 jam sebelumnya akibat keguguran.
Beliau berkata beberapa barang kes telah dirampas, namun kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah.
Seorang daripada mereka direman sehingga esok, manakala seorang lagi ditahan reman sehingga Isnin.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat untuk melupuskan mayat.



