Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MMEA) Pulau Pinang menahan sebuah kapal tangki yang dipercayai terlibat dalam perlanggaran dengan bot nelayan tempatan di perairan Bagan Datuk, Perak.
Kapal dikesan di perairan Butterworth
Pengarah MMEA Pulau Pinang, Maritim Kapten Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata kapal tangki itu dipercayai meneruskan pelayaran ke perairan Pulau Pinang selepas kejadian pada Khamis lalu.
Beliau berkata susulan maklumat daripada Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Perak, agensi itu mengerahkan aset untuk mengesan dan memintas kapal tangki tersebut.
“Kapal tangki BTS Winter berjaya dikesan dan ditahan sejauh 1.2 batu nautika barat Butterworth. Kapal itu membawa 23 anak kapal terdiri daripada 13 warga Malaysia, lapan warga Indonesia dan dua warga Filipina.
“Siasatan awal mendapati kapal tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana mengemudi kapal secara melulu atau cuai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiga anak kapal ditahan
Muhammad Suffi berkata tiga anak kapal kemudiannya ditahan bersama dokumen berkaitan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat di ibu pejabat MMEA Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Khamis lalu, namun butiran lanjut mengenai perlanggaran masih dalam siasatan.



