Seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah apartmen di Taman Sepakat Indah 2, Kajang, awal pagi semalam.
Laporan Polis
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof, berkata pihak polis menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian di Blok AB, Apartmen Sri Lavender, daripada seorang lelaki melalui talian MERS 999 pada jam 7.12 pagi.
Katanya, pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian melakukan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi tersebut.
Siasatan Dijalankan
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Walau bagaimanapun, ia juga disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana terdapat unsur pengabaian kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Naazron berkata, jika sabit kesalahan, mereka yang bertanggungjawab boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya.
Nasihat Kepada Ibu Bapa
Beliau turut menasihati ibu bapa dan penjaga untuk memantau pergerakan anak-anak mereka dengan rapi dan memastikan keselamatan mereka, terutamanya di kawasan kediaman bertingkat tinggi. — Bernama



