KANGAR: Seramai 28 etnik Rohingya termasuk seorang bayi berusia setahun ditahan dalam Ops Pintas Pemerdagangan Orang di sebuah inap desa di Jalan Padang Nyu, awal pagi tadi. Ketua Polis Arau, Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata semua individu berusia antara setahun hingga 44 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi.
Mereka yang ditahan membabitkan 10 lelaki, 10 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan. Hasil pemeriksaan dokumen pengenalan diri mendapati hanya 15 individu memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala selebihnya dipercayai pendatang asing tanpa izin.
“Semua pemegang kad UNHCR dibebaskan, manakala 13 lagi ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan. Mohsin berkata mereka dipercayai memasuki negara ini antara satu hingga dua tahun lepas, dengan menaiki bot dari Myanmar sebelum berlabuh di Thailand dan berjalan kaki memasuki Malaysia melalui laluan tidak sah.
Mereka dipercayai dibantu etnik Rohingya lain yang belum dikenal pasti, sebelum menetap sementara di negeri ini bagi mendapatkan perlindungan serta mengelak dikesan pihak berkuasa. Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis dalam membanteras aktiviti pemerdagangan orang dan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini.



