Seramai 28 rakyat Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza selamat tiba di tanah air semalam.
Kesemua mereka, bersama Ketua Pengarah Pusat Perintah Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby, bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye pada pukul 2.21 pagi (waktu tempatan) semalam dan kemudian transit di Dubai, Emiriah Arab Bersatu sebelum meneruskan perjalanan pulang dengan penerbangan Emirates EK342 yang mendarat pada pukul 9.30 malam tadi di KLIA Terminal 1.
Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman dan lebih 100 ahli keluarga aktivis serta penyokong Palestin dengan laungan “Free Free Palestine” dan Allahuakbar sambil mengibarkan bendera Palestin.
Air mata kegembiraan, air mata kesyukuran dan pelukan erat antara ahli keluarga dan rakan seperjuangan mengiringi detik pertemuan itu.
Kesemua 28 sukarelawan yang terlibat ialah Norazman Ishak; Muhammad Hareez Adzrami; Nor Liyana Farhan Daud; Zainal Rashid Ahmad; Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman; Hazwan Hazim Dermawan; Norhelmi Ab Ghani; Mohd Hanafi Mohd Salim; dan Mohd Shamsir Mohd Isa.
Turut serta dalam misi ini ialah Mohd Redzal Amzah; Muhammad Zaid Abdul Karim; Al-Ahmad Shah Abdul Kadir; Mohammad Farizzal Rostam; Chin Shiau Weai; Abdul Samad Selamat; Mohammad Shazly Mohammad Shees; Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari; Syed Aminul Syafiq Syed Iskandar dan Osman Zulkifli.
Peserta lain termasuk Jihan Alya Mohd Nordin; Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar; S. Patmanathan; Syakirin Muhamad Senin; Muhammad Muhsin Zaidi; Abdul Rahim Abdul Razak; Eddy Noor Mat Amin; Noor Thanisah Mohamad Tajudin dan Naufa Azhar.
Seorang lagi aktivis, Razman Mat Ali, masih di Istanbul, Turkiye, untuk rawatan “traumatic pneumothorax” atau paru-paru bocor selepas ditumbuk oleh askar Israel.
Sebelum ini, SNCC mengesahkan bahawa kesemua 50 kapal misi GSF 2.0 yang membawa 430 aktivis kemanusiaan, termasuk 29 rakyat Malaysia, telah diculik oleh Israel. Kapal yang membawa sukarelawan misi kemanusiaan GSF 2.0 telah dipintas oleh pasukan Israel berhampiran perairan Cyprus pada 18 Mei.
Sementara itu, Sani Arabi dalam satu sidang akhbar berkata Razman telah berjaya menjalani pembedahan dan berada dalam keadaan stabil. Beliau berkata Razman dijangka dibenarkan pulang dan terbang ke Malaysia dalam tempoh 21 hari.
Menurutnya, kumpulan Sumud telah melawat Razman dan dua wakil daripada pasukan undang-undang dari Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) telah mengambil rakaman dan kenyataan daripadanya untuk digunakan sebagai bukti dalam tindakan undang-undang antarabangsa terhadap Israel.
“Kerajaan Turkiye telah memaklumkan kepada kami bahawa mereka akan menjaganya dan kami juga mempunyai wakil dari Sumud Nusantara yang menemaninya dan saya fikir apa yang dihadapi Razman bukanlah cerita terpencil,” katanya.
Sementara itu, Sani Arabi menegaskan bahawa kecederaan yang dialami Razman bukanlah kes terpencil kerana semua perwakilan juga menghadapi layanan kasar dan penderaan fizikal sepanjang tempoh tahanan mereka.
Mengenai GSF 2.0, Sani Arabi menggambarkan misi yang mencatatkan 960 jam atau 40 hari belayar merentasi Laut Mediterranean itu kini terukir dalam sejarah kemanusiaan sebagai usaha global kolektif dengan matlamat konkrit dan jelas untuk memecahkan sekatan dan menghantar bantuan kecemasan ke Gaza.
“Misi ini bukan sahaja diiktiraf, malah berjaya mencetuskan kemarahan global apabila rejim penjajah bertindak seperti lanun dan perompak di zon milik antarabangsa.”
“SNCC menegaskan bahawa GSF 2.0 telah mencipta gelombang solidariti antarabangsa yang luar biasa dalam sejarah perjuangan kemanusiaan moden apabila ia menghimpunkan aktivis, ahli parlimen, pengamal media, doktor, peguam dan 422 aktivis dari 40 negara untuk menyatakan solidariti dengan rakyat Palestin dan menentang sekatan biadab ke atas Gaza,” katanya.
Amirudin dalam ucapannya berkata kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri menyatakan komitmen untuk membawa persidangan dan mesyuarat antarabangsa mengenai Palestin ke Malaysia pada masa hadapan.
“Kami mahu setiap aspek perjuangan ini dibangunkan, diperkukuh, dan membawa kepada pembebasan Gaza yang telah diimpikan sekian lama,” katanya. — Bernama



