Mesir umum penemuan gas baharu di Delta Nil
Mesir pada hari Sabtu mengumumkan penemuan gas asli baharu di Delta Nil dengan anggaran pengeluaran sekitar 50 juta kaki padu sehari, lapor Anadolu Ajansi. Penemuan ini menambah pengeluaran semasa negara itu yang berjumlah sekitar 4.2 bilion kaki padu setiap hari.
Dalam satu kenyataan, kementerian petroleum dan sumber mineral berkata penemuan itu dicapai selepas kejayaan penggerudian telaga eksplorasi "Nidoco N-2" di kawasan konsesi yang dikendalikan oleh Eni dari Itali dengan kerjasama BP dari Britain.
Kementerian itu berkata telaga tersebut digerudi di darat menggunakan teknologi penggerudian berarah termaju, yang membantu mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan operasi. Ia menambah bahawa kedekatan telaga itu dengan infrastruktur sedia ada, kurang daripada dua kilometer dari kemudahan pengeluaran terdekat, akan membolehkannya disambung dengan pantas ke rangkaian dan memulakan pengeluaran awal dalam beberapa minggu.
Kawasan pembangunan West Abu Madi dikendalikan oleh Eni dengan kerjasama BP dan Perbadanan Petroleum Am Mesir melalui Petrobel, sebuah usahasama antara pihak berkuasa Mesir dan Eni, menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian, penggunaan domestik gas asli Mesir adalah sekitar 2.2 trilion kaki padu setahun, dengan purata sekitar 6 bilion kaki padu sehari. Pengeluaran semasa dianggarkan sebanyak 4.2 bilion kaki padu sehari, manakala permintaan domestik mencapai sekitar 6.2 bilion kaki padu sehari, meningkat kepada sekitar 7.2 bilion semasa musim panas.
Antara medan gas utama Mesir ialah medan gas Zohr, yang ditemui pada tahun 2015 dan dianggap terbesar di Mediterranean, menyumbang kira-kira 25 peratus daripada pengeluaran gas negara dengan rizab dianggarkan sekitar 30 trilion kaki padu. Pengeluaran dari Zohr bermula pada Disember 2017 pada 800 juta kaki padu sehari, kemudian memuncak pada 3.2 bilion kaki padu pada tahun 2022 sebelum menurun kepada 2.4 bilion pada tahun 2023, 1.9 bilion pada tahun 2024, dan sekitar 1.25 bilion menjelang pertengahan 2025, menurut data rasmi.



