Tiga daerah Kelantan alami cuaca panas tahap berjaga-jaga
Tiga daerah Kelantan alami cuaca panas tahap berjaga-jaga

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan status cuaca panas Tahap 1 atau kategori berjaga-jaga bagi tiga daerah di Kelantan iaitu Machang, Pasir Mas dan Kuala Krai.

Menurut kenyataan MetMalaysia, status itu dikeluarkan apabila suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius dan berlaku sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di lapan negeri hingga 1.30 pagi esok. Negeri-negeri terbabit termasuk Kedah di Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu; Perak di Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim; Kelantan di Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang; Terengganu di Besut dan Hulu Terengganu; Pahang di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Bera, Pekan dan Rompin; serta Selangor di Hulu Selangor.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Di Sarawak, amaran dikeluarkan bagi Sri Aman (Lubok Antu), Kapit (Song, Kapit dan Belaga), Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri (Miri dan Marudi) dan Limbang. Manakala Sabah di Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Sandakan (Tongod dan Telupid) selain Wilayah Persekutuan Labuan.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini cuaca melalui saluran rasmi MetMalaysia dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga