El Niño Kurangkan Hujan 20-40% di Johor dan Melaka
El Niño: Johor, Melaka Dijangka Hujan Kurang 20-40%

Pengurangan Hujan di Johor dan Melaka

Johor dan Melaka dijangka mengalami pengurangan hujan sebanyak 20 hingga 40 peratus apabila negara memasuki musim Monsun Timur Laut pada akhir tahun ini akibat fenomena El Niño, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Beliau berkata Pantai Timur Sabah juga berpotensi menerima kurang hujan kerana lokasinya lebih dekat dengan Lautan Pasifik, tetapi negeri-negeri di Pantai Timur dan utara Semenanjung tidak dijangka menerima kesan drastik sehingga akhir tahun berdasarkan unjuran enam bulan.

“Pada masa ini, daripada maklumat yang kami ada dan unjuran hujan enam bulan ke hadapan, kami tidak melihat kesan ketara di Pantai Timur sehingga akhir tahun,” katanya selaku tetamu dalam program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk El Nino: Is Malaysia Ready? malam tadi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Unjuran Suhu Meningkat

Mohd Hisham berkata Monsun Timur Laut lazimnya bermula pada akhir Oktober atau awal November dan berakhir pada akhir Mac, dengan negeri Pantai Timur biasanya menerima hujan tertinggi pada November dan Disember.

Kesan El Niño dijangka semakin ketara menjelang akhir Monsun Timur Laut sebelum mencapai kemuncak pada awal 2027, dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius mungkin berlaku dari Februari hingga Mei, dan mungkin berlanjutan hingga Jun.

Menurutnya, kawasan yang biasanya mengalami suhu tinggi semasa episod El Niño sangat kuat termasuk Perlis, Kedah, utara Perak, kawasan pedalaman Kelantan dan sebahagian pedalaman Pahang.

Rekod Suhu dan Pemanasan Global

Sementara itu, Mohd Hisham berkata analisis suhu Malaysia sejak 1980-an menunjukkan peningkatan 0.19 darjah Celsius setiap dekad akibat pemanasan global, manakala El Niño kuat boleh meningkatkan suhu sehingga 0.7 darjah Celsius melebihi normal.

“Jika El Niño ini mencapai tahap sangat kuat yang dijangkakan, suhu tertinggi negara boleh melepasi rekod 40.1 darjah Celsius yang dicatat pada 9 April 1998, dengan potensi lonjakan suhu berlaku antara Mac dan Mei 2027,” katanya.

Beliau berkata pengurangan hujan dan peningkatan suhu boleh menjejaskan pengeluaran pertanian dan ternakan, menurunkan paras air di takungan dan empangan, serta meningkatkan risiko kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan.

Langkah Mitigasi

Bagi mengurangkan kesan cuaca kering, beliau berkata MetMalaysia juga memberikan nasihat teknikal untuk menyokong operasi pembenihan awan bagi meningkatkan paras air di kawasan tadahan, walaupun operasi sedemikian hanya boleh dijalankan apabila keadaan cuaca sesuai.

“El Niño tidak boleh dikawal kerana ia adalah fenomena semula jadi. Apa yang boleh kami lakukan di MetMalaysia adalah memberikan maklumat tentang keadaan yang dijangkakan berlaku,” katanya, sambil menasihati orang ramai supaya menggunakan air dengan bijak dan mengelakkan pembakaran terbuka bagi mengurangkan risiko semasa cuaca panas dan kering. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga