KUALA LUMPUR, 19 Jun — Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda 10 negeri dan Kuala Lumpur sehingga jam 7 malam ini.
Amaran MetMalaysia
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dalam satu kenyataan hari ini, memberi amaran cuaca buruk meliputi beberapa kawasan di Kedah, iaitu Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.
Di Perak, kawasan terjejas ialah Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
Keadaan cuaca sama diramal di Kelantan (meliputi Kota Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Puteh), serta di Terengganu (Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun).
Negeri lain terjejas
Di Pahang, amaran dikeluarkan untuk Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera.
Di Selangor, kawasan terjejas ialah Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat, manakala di Johor melibatkan Segamat, Kluang dan Mersing.
Amaran sama juga dikeluarkan untuk Sarawak melibatkan Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu) dan Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu) serta Sabah melibatkan Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat dan Kudat.



