PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya telah menggerakkan anggotanya untuk memantau situasi kenaikan air di sebuah pusat beli-belah di sini, susulan hujan lebat yang berterusan pada hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM WP Putrajaya, Muhamad Haziq Hazmi, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kenaikan air di kawasan tersebut dan pemantauan segera dilaksanakan bagi memastikan keadaan terkawal serta tidak melibatkan sebarang mangsa.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima beberapa aduan mengenai kejadian air bertakung dan kawasan berisiko banjir susulan hujan lebat yang melanda sekitar Putrajaya bermula dari jam 3 hingga 4 petang tadi.
Tindakan Pemantauan dan Rondaan
Susulan itu, pihak bomba melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 serta BBP Presint 14 telah melaksanakan rondaan dan pemantauan di beberapa lokasi tumpuan bagi memastikan keadaan selamat dan terkawal. Antara lokasi yang dipantau termasuklah kawasan Perumahan Presint 9 Fasa 5 dan 6, Tunnel Presint 11, Apartmen Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Seruling Presint 5, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya serta sekitar Presint 16 dan Presint 17.
“Pemeriksaan turut dilakukan terhadap sistem perparitan dan paras air di kawasan berisiko berlakunya takungan air bagi mengelakkan kejadian banjir kilat,” katanya.
“Pemantauan berterusan juga dilaksanakan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta kerjasama dengan Putrajaya Command Centre (PPj),” tambah beliau dalam kenyataan hari ini.
Kesiapsiagaan Bomba
Haziq berkata pihaknya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini. “Pemantauan awal dan rondaan berterusan dilaksanakan bagi memastikan sebarang risiko banjir kilat dapat dikenal pasti dengan segera serta tindakan pantas dapat diambil oleh pasukan bomba demi keselamatan orang awam,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau peningkatan paras air di kawasan masing-masing.
Terdahulu, tular beberapa video yang dimuat naik orang ramai mengenai kawasan tempat letak kereta di pusat beli-belah itu dinaiki air susulan hujan lebat berterusan pada hari ini.



