IPOH, 1 Jun — Polis sedang memburu tiga lelaki yang dipercayai warganegara Indonesia yang terlibat dalam kes samun beramai-ramai bersenjatakan parang di sebuah rumah di kawasan Pekan Gurney, Manjung semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Hasbullah Abd Rahman, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang mangsa wanita berusia 40-an pada jam 6.27 pagi.
"Dalam kejadian itu, tiga suspek lelaki yang dipercayai warga Indonesia telah memasuki rumah dan mengancam mangsa dengan parang sebelum melarikan diri bersama wang tunai dan barang kemas. Tiada kecederaan dilaporkan, dan anggaran kerugian ialah RM10,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah bahawa terdapat empat kejadian sebelum ini dengan modus operandi yang sama berlaku di sekitar Ayer Tawar dan Pekan Gurney tahun ini.
"Polis sedang giat menjalankan siasatan untuk mengesan dan menangkap suspek yang terlibat. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil ke hadapan dan membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di talian 05-688 6222, talian hotline WhatsApp di 017-682 8005, atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Beliau menyatakan bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata secara berkumpulan. — Bernama



