Pendaratan Belangkas Malaysia Meningkat 14.44 Peratus, Tanda Ekosistem Pantai Masih Sihat
Pendaratan Belangkas Meningkat 14.44 Peratus

PUTRAJAYA, 20 Jun — Malaysia mencatat peningkatan sebanyak 14.44 peratus dalam pendaratan belangkas dalam tempoh tiga tahun, mencerminkan daya tahan berterusan ekosistem pantai negara dalam menyokong kelangsungan hidup spesies purba dan bernilai tinggi ini.

Peningkatan Pendaratan dan Nilai Pasaran

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memaklumkan jumlah pendaratan belangkas meningkat daripada 232.80 tan metrik pada 2023 kepada 266.42 tan metrik pada 2025. Sementara itu, nilai pasaran borongnya melonjak 9.32 peratus kepada RM2.68 juta, berbanding RM2.45 juta dalam tempoh yang sama.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata belangkas merupakan khazanah biodiversiti marin negara yang mempunyai nilai strategik tinggi, bukan sahaja kepada ekosistem pantai tetapi juga kepada bidang biosains dan bioperubatan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Peningkatan pendaratan belangkas menunjukkan bahawa ekosistem pantai negara masih mampu menyokong kelangsungan hidup spesies ini.

“Walau bagaimanapun, tekanan terhadap habitat semula jadi akibat pembangunan, pencemaran dan pengeksploitasian berlebihan memerlukan tindakan pemuliharaan yang lebih bersepadu dan berterusan,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Belangkas Sedunia 2026, di sini hari ini.

Spesies Bernilai Tinggi untuk Komuniti Nelayan

DOF berkata walaupun belangkas hanya menyumbang sekitar 0.019 peratus daripada jumlah pendaratan perikanan tangkapan negara, spesies ini membawa nilai premium dan berpotensi menjana pendapatan tambahan bagi komuniti nelayan pantai.

Dikenali sebagai “fosil hidup”, belangkas telah wujud di Bumi selama lebih 400 juta tahun dan mempunyai nilai signifikan dalam bioperubatan melalui darah birunya yang mengandungi lisat amebosit, komponen penting yang digunakan dalam ujian keselamatan vaksin dan ubat-ubatan untuk mengesan pencemaran bakteria.

Peranan Malaysia dalam Pemuliharaan

Menurut DOF, Malaysia memainkan peranan penting dalam pemuliharaan spesies ini kerana ia merupakan habitat kepada tiga daripada empat spesies belangkas dunia, iaitu Carcinoscorpius rotundicauda, Tachypleus gigas dan Tachypleus tridentatus.

Jabatan itu berkata walaupun terdapat trend positif dalam data pendaratan, populasi belangkas masih menghadapi pelbagai ancaman, termasuk kemusnahan habitat akibat pembangunan pantai, pencemaran sisa plastik dan aktiviti pengumpulan telur yang tidak terkawal.

Usaha Pemuliharaan Berterusan

Sehubungan itu, DOF akan terus memperkukuh usaha pemuliharaan melalui penguatkuasaan, penyelidikan saintifik, program pelepasan juvenil dan penggazetan kawasan pembiakan sebagai zon terlindung.

Jabatan itu juga menyeru masyarakat untuk bersama-sama memelihara ekosistem pantai dan hutan bakau, kerana usaha melindungi belangkas bukan sahaja penting untuk mengekalkan keseimbangan biodiversiti marin tetapi juga mencerminkan komitmen negara dalam memulihara sumber alam untuk generasi akan datang. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga