LABUAN, 18 Jun — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Ganggarak Permai di sini diteruskan sehingga malam semalam.
Mangsa dikenal pasti sebagai Putra Faris Suhaimi
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abdul Rahman Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.36 petang.
Mangsa dikenal pasti sebagai Putra Faris Suhaimi.
“Setibanya di lokasi kejadian, anggota kami dimaklumkan oleh orang awam bahawa seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas di sungai tersebut.
“Komander operasi dengan serta-merta memulakan operasi mencari, dengan anggota menjalankan pencarian di permukaan air dalam usaha mencari mangsa,” katanya kepada Bernama semalam.
Seramai 14 anggota dikerahkan
Abdul Rahman berkata, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Layangan dikerahkan, dibantu oleh anggota Pasukan Penyelamat Air (PBS) Tanjung Aru dan anggota polis.
Beliau berkata, operasi itu melibatkan sebuah Jentera Pemadam Kebakaran Ringan (LFRI), sebuah kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kenderaan Sokongan Garis Dasar Hilux.
Sehingga jam 9 malam, pencarian mangsa masih diteruskan. — Bernama



