Mayat remaja kedua ditemui terapung di jeti Paka, Dungun
Mayat remaja kedua ditemui terapung di jeti Paka

DUNGUN, 25 Mei — Mayat remaja kedua yang lemas di Sungai Beril berhampiran Taman Beril, Paka pada Ahad ditemui pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun DSP Jumaidy Bah Chong Weh berkata, orang awam menemui mayat Muhammad Aidil Amsyar Mohd Zul-Zunaidi, 14, terapung berhampiran jeti Pasar Paka pada pukul 9.55 pagi.

Beliau berkata, mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling itu ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Anggota penyelamat bergegas ke lokasi sebaik sahaja dimaklumkan penemuan itu oleh orang awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah, mayat telah dihantar ke unit forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Semalam, pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat abang mangsa, Muhammad Amir Ashraf, 15, pada pukul 3.47 petang, tujuh meter dari lokasi kedua-dua beradik dilaporkan hilang.

Bernama melaporkan, dua beradik itu lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Beril bersama dua rakan pada pukul 11 pagi semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Zul-Zunaidi Mohd Baldin, 40, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, kedua-dua beradik akan dikebumikan di kampung halamannya di Melor, Kota Bharu, Kelantan, selepas selesai bedah siasat. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga