ALOR SETAR, 30 Mei — Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai cuba menyelamatkan sebuah jet ski yang hanyut dalam kejadian di perairan Jalan Pantai Tengah, Langkawi semalam, ditemui pada hari ini.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Superintendan Mohd Zamri Abdul Ghani berkata, mayat Arash Nashran Abdul Maser, 23 tahun, yang merupakan operator jet ski itu ditemui kira-kira jam 6 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat yang sedang melakukan rondaan di laut.
“Operasi mencari semalam diteruskan sehingga jam 2.39 pagi (semalam) di sepanjang garis pantai, tetapi terpaksa ditangguhkan disebabkan keadaan laut bergelora dan angin kencang.
“Pencarian disambung semula pada jam 6.50 pagi dan tiga buah jet ski milik orang awam digunakan untuk mencari mangsa. Pada jam 6 petang, mayat mangsa ditemui dan dibawa ke jeti dengan bot,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada jam 6.48 petang, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Semalam, laporan media menyatakan bahawa seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai cuba menyelamatkan sebuah jet ski yang hanyut di laut sebelum ombak kuat menyebabkan dia tercampak ke dalam air. Difahamkan, mangsa tidak memakai jaket keselamatan pada ketika itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, mayat ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, dan kes itu telah diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR). — Bernama



