Seorang maut selepas pokok tumbang timpa dua kereta di Jalan Tun Razak
Maut pokok tumbang timpa kereta di Jalan Tun Razak

KUALA LUMPUR, 19 Julai — Seorang lelaki maut selepas sebatang pokok tumbang dan menghempap kereta yang dipandunya di hadapan Dua Residensi, berhampiran Kedutaan Singapura, di Jalan Tun Razak kira-kira pukul 10.20 malam semalam.

Mangsa meninggal dunia di HKL

Ketua Polis Dang Wangi ACP Sazalee Adam berkata mangsa mengalami kecederaan pada kedua-dua tangan dan pendarahan dalaman di dada.

“Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 4 pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau berkata sebuah lagi kenderaan yang membawa tujuh individu berusia antara dua bulan hingga 57 tahun turut dilanggar pokok tersebut dalam kejadian itu.

Kesemua mangsa dirawat di HKL

Sazalee berkata kesemua mereka sedang menerima rawatan di HKL, dan pemeriksaan fizikal mendapati tiada kecederaan luaran.

Beliau menambah bahawa operasi pembersihan dan pemotongan pokok yang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selesai pada tengah malam, manakala kedua-dua kenderaan yang terlibat telah ditunda dari Jalan Tun Razak bagi melancarkan pergerakan lalu lintas.

— Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga