KUALA PILAH, 10 Mei — Sebuah lori yang dijadikan bahan bukti dalam siasatan kemalangan maut terbakar di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah awal pagi tadi.
Kejadian pada pukul 2.45 pagi
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 2.45 pagi daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuala Pilah yang memaklumkan bahawa lori yang diletakkan di luar kawasan ibu pejabat polis itu terbakar.
Beliau berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah tiba di lokasi pada pukul 3.05 pagi untuk menjalankan operasi pemadaman dan berjaya menyelesaikan tugas kira-kira 20 minit kemudian. Punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut oleh pasukan forensik bomba sedang dijalankan.
Lori terlalu besar untuk disimpan dalam kawasan IPD
“Lori dan dua kenderaan lain ditahan untuk pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). Namun, lori tersebut terpaksa diletakkan di luar kawasan IPD kerana saiznya yang besar dan kesesuaian lokasi penyimpanan.
“Lori itu adalah bahan bukti dalam kes kemalangan jalan raya yang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kenderaan itu terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir yang melibatkan dua kenderaan lain, mengakibatkan satu kematian pada 16 April lalu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta membantu dengan menghubungi IPD Kuala Pilah di talian 06-4842999 atau pegawai penyiasat Inspektor Supiah Ishak di 019-9933978. — Bernama



