SEPANG: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendedahkan bahawa lebih separuh daripada jumlah kemalangan yang direkodkan pada tahun lalu melibatkan perjalanan pergi dan balik kerja. Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata sebanyak 50.9 peratus atau 46,542 daripada 91,456 kes kemalangan yang direkodkan pada 2025 ialah kemalangan perjalanan pergi dan balik kerja.
Trend membimbangkan dalam kalangan penunggang motosikal
Menurut beliau, statistik itu turut menunjukkan berlakunya trend yang membimbangkan khususnya dalam kalangan penunggang motosikal. "Kebanyakan mereka yang terkorban ini merupakan tulang belakang keluarga. Justeru, situasi membimbangkan ini menuntut tindakan melangkaui sekadar pendekatan reaktif kerana penyaluran faedah Perkeso bukan penyelesaian tunggal dalam masalah ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Penunggang Malaysia (MyRider) di sini, hari ini.
Kerjasama pelbagai agensi
Beliau berkata, Perkeso dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia melancarkan MyRider bagi memperkukuh usaha pencegahan kemalangan jalan raya terutama melibatkan penunggang motosikal. Kempen itu turut melibatkan pelbagai agensi dan rakan industri termasuk Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali gus mencerminkan komitmen bersama ke arah memperkukuh keselamatan penunggang motosikal di Malaysia.
"Menerusi Kempen MyRider, saya ingin sampaikan mesej mudah tetapi besar maknanya iaitu kita perlu bersama-sama membudayakan Penunggang Malaysia yang lebih bertanggungjawab, lebih berhemah dan lebih menghargai nyawa, selaras slogan Penunggang Malaysia: Selamat. Berhemah. Bermaruah," katanya.
Sokongan penuh polis
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, Mohd Rozi Jidin, berkata polis memberikan sokongan penuh dalam menjayakan Kempen MyRider. "Semoga kerjasama erat antara Perkeso, polis, agensi kerajaan dan rakan strategik industri menjadi pemangkin keberkesanan usaha dalam meningkatkan keselamatan penunggang motosikal di Malaysia," katanya.



