Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala 11 yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Lebuhraya Segamat-Kuantan, Muadzam Shah, Rompin awal pagi tadi.
Kejadian pada kira-kira pukul 1.12 pagi itu membabitkan 12 mangsa dari tiga kenderaan iaitu Proton Saga, Perodua Alza dan Perodua Axia.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, dalam Proton Saga, dua lelaki dewasa tersepit dan cedera manakala seorang kanak-kanak lelaki turut cedera dan seorang lagi kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia.
Menurutnya, seorang lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki Perodua Alza dilaporkan cedera.
“Bagi Perodua Axia pula, seorang perempuan dewasa tersepit dan cedera manakala dua lagi perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki turut cedera,” katanya.
Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam kenderaan tersebut.
“Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut. Mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.



