KUALA LUMPUR, 1 Jun — Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Taman Cahaya, Ampang, semalam.
Laporan polis
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairul Anuar Khalid berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang wanita kira-kira jam 7.45 malam selepas dia menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dipercayai ditinggalkan sendirian di rumah ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh seorang penolong pegawai perubatan dari Hospital Ampang.
Siasatan lanjut
Berikutan kejadian itu, Khairul Anuar berkata polis telah merakamkan keterangan daripada lima individu, terdiri daripada ibu bapa dan ahli keluarga mangsa serta saksi.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian, dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. — Bernama



