Dua ditahan, tapak ekspo ditutup sementara susulan letupan silinder helium di Sg Petani
Dua ditahan, tapak ekspo ditutup susulan letupan silinder helium

SUNGAI PETANI, 22 Mei — Dua lelaki berusia 20-an dan 40-an telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung letupan silinder gas helium di sebuah tapak ekspo berhampiran pasar raya di sini semalam, yang mengorbankan seorang peniaga.

Butiran Kejadian

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan, berkata siasatan masih di peringkat awal bagi menentukan punca kejadian dan polis juga sedang berusaha mengenal pasti pemilik silinder gas helium tersebut.

Beliau berkata tapak kejadian akan ditutup sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan. “Kami sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian, jadi kami meminta semua peniaga untuk menghentikan operasi buat sementara waktu. Setelah selesai, kami akan menyerahkan tapak kembali kepada penganjur untuk meneruskan acara,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam tadi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pada masa sama, Hanyan juga menggesa pengunjung yang cedera supaya tampil dan melaporkan kepada pihak berkuasa.

Kesan Letupan

Menjelaskan lanjut, Hanyan berkata letupan itu menyebabkan serpihan terpelanting sejauh 100 meter, mengenai beberapa mangsa. “Sebahagian serpihan terpelanting sehingga 100 meter dari silinder dan mengenai seorang lelaki Melayu yang menjalankan perniagaan berhampiran.

“Mangsa mengalami kecederaan parah pada lengan kanan dan bahagian kanan dada dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat sebagai laporan kematian mengejut (SDR) dan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Mangsa dan Tindakan

Sebelum ini, dilaporkan seorang lelaki maut manakala tiga yang lain cedera dalam letupan membabitkan silinder gas helium di tapak ekspo berhampiran pasar raya di sini.

Mangsa dikenal pasti sebagai Azmi Ahmad, 42, manakala identiti yang cedera belum dapat dipastikan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani merangkap Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Siti Norafiza Mohd Noh, berkata mangsa yang cedera termasuk seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dan dua lelaki berusia 36 dan 49 tahun. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga