JEMPOL, 1 Jun — Dua beradik maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan, terbabas ke tepi jalan dan merempuh sebatang pokok di KM11 Jalan Bahau-Kemayan di sini malam tadi.
Butiran Kemalangan
Ketua Polis Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 8.40 malam itu membabitkan sebuah kereta Volkswagen yang dipandu oleh abang sulung berusia 31 tahun, yang dalam perjalanan bersama dua adik lelakinya berusia 27 dan 25 tahun.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan itu dalam perjalanan dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, ke Temerloh, Pahang, apabila dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok dan papan tanda jalan.
Mangsa dan Tindakan
"Akibat kemalangan itu, pemandu yang bekerja sebagai pegawai keselamatan di sebuah syarikat swasta, dan adiknya yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Seorang lagi adik yang duduk di tempat duduk hadapan penumpang, mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Jempol," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal di 016-362 7746 untuk membantu siasatan. — Bernama



