IPOH: Satu lagi mayat mangsa bot yang membawa warga Indonesia karam di perairan Pulau Pangkor ditemukan malam tadi, menjadikan jumlah mangsa maut setakat ini 10 orang.
Penemuan Mayat Terbaharu
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan mayat lelaki itu ditemukan nelayan pada pukul 7.40 malam pada kedudukan 3.6 batu nautika timur laut dari lokasi kejadian.
“Mayat dipindahkan ke aset Pasukan Polis Marin (PPM) PSC 16 dari vesel nelayan tempatan dan dibawa ke Jeti PPM Kampung Acheh pada 9.35 malam untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Operasi Mencari dan Menyelamat
APMM memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima diteruskan pada pukul 7 pagi tadi bagi mencari empat lagi mangsa yang masih hilang.
Dalam kejadian pada 11 Mei lalu, sebuah bot dipercayai membawa 37 pendatang tanpa izin Indonesia dilaporkan karam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan menuju beberapa destinasi di Malaysia.
Setakat ini, 23 mangsa berjaya diselamatkan. Operasi SAR akan diteruskan sehingga semua mangsa ditemukan.



