Singapura, 8 Mei — Kerajaan Singapura akan menyuntik dana segar sebanyak S$740 juta (RM2.2 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang ke dalam Dana Pembangunan Pelancongan, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan Grace Fu.
Pelan Pelancongan 2040
Berucap pada Persidangan Industri Pelancongan 2026 hari ini, beliau berkata pembiayaan ini akan menyokong aspirasi Singapura di bawah Pelancongan 2040, merangka fasa pertumbuhan seterusnya dan memastikan republik itu kekal sebagai destinasi yang menarik.
Fu, yang juga Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar, berkata kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan kedudukan Singapura dalam tiga bidang, iaitu hab global untuk manusia, modal dan perdagangan; bandar bertaraf dunia dan rumah yang disayangi; serta rumah untuk perniagaan yang berdaya tahan dengan modal insan yang kukuh.
Cabaran dan Peluang
“Walaupun peristiwa geopolitik telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan dan kenaikan kos bahan api, cabaran juga memberi peluang kepada kita untuk mempertajam cadangan nilai dan daya saing kita.
“Lembaga Pelancongan Singapura (STB) akan bekerjasama rapat dengan industri untuk muncul lebih kuat daripada cabaran ini,” tambahnya.
Pencapaian Pelancongan 2025
Fu berkata negara kota itu menyambut 16.9 juta pelawat antarabangsa pada tahun 2025, yang menyumbang S$32.8 bilion dalam hasil pelancongan dan membantu Singapura mencapai tahun rekod hasil pelancongan.
“Tanah Besar China, Indonesia dan Australia adalah pasaran hasil pelancongan teratas kami, manakala pasaran jarak jauh seperti Jerman, UK dan Amerika Syarikat mencatat pertumbuhan dua digit tahun ke tahun,” katanya. — Bernama



